PATNA, 18 JULAI – Kira-kira 33 orang terbunuh disambar petir ketika ribut monsun di timur India minggu ini dan mencederakan berpuluh-puluh lainnya, kata pegawai hari ini.
Kematian di Bihar berlaku semasa ribut kuat antara Rabu dan kelmarin, menurut satu kenyataan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri, dengan mangsa kebanyakannya terdiri daripada petani dan buruh yang bekerja di tempat terbuka.
Lebih banyak hujan lebat dan petir diramalkan di beberapa bahagian di negeri itu.
Menteri Pengurusan Bencana Negeri Bihar, Vijay Kumar Mandal, berkata kepada AFP bahawa pegawai di daerah berisiko telah diarahkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan amaran berkaitan petir.
Kerajaan negeri mengumumkan pampasan sebanyak 4 juta rupee (AS$4,600) kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat tragedi itu.
Kira-kira 243 maut disambar petir pada 2024 dan 275 pada tahun sebelumnya, menurut kerajaan negeri.
Wilayah timur India, termasuk Bihar, terdedah kepada banjir tahunan yang membunuh berpuluh-puluh dan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal semasa puncak musim tengkujuh. – AFP









