Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    33 mualaf terima sijil kursus kefahaman Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    Bandar Seri Begawan, 31 Okt – Untuk mengukuhkan akidah dalam merealisasikan perpaduan umat Islam di samping memantapkan lagi penghayatan terhadap enam Rukun Iman, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS dengan kerjasama Pusat Dakwah Islamiah melalui Unit Pengupayaan Mualaf Bahagian Pembangunan Mualaf telah mengadakan Program Kursus Skim Kefahaman Al-Quran bagi Mualaf yang berlangsung selama dua minggu hingga hari ini.

    Majlis penutup bagi kursus yang diadakan setiap Selasa di Dewan Mau’izzah, Pusat Dakwah lslamiah itu telah menyaksikan seramai 33 orang peserta menerima sijil yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Pusat Dakwah Islamiah, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar.

    Tetamu kehormat dalam ucapannya melahirkan harapan dengan adanya kursus berkenaan, para peserta akan dapat mendalami dan memantapkan akidah sebaik-baik mungkin hingga ke akhir hayat.

    Turut hadir di majlis itu ialah Pemangku Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.

    Tetamu kehormat menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta kursus di majlis penutup di PDI.

    Kursus yang dijalankan oleh fasilitator, Dr. Hajah Umi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman itu antara lain merangkumi mengenai Pengertian Al-Quran dan Akidah, enam perkara Rukun Iman dan perlunya Muslim bertakwa dalam pembangunan negara.

    Salah seorang peserta yang ditemui, Dayang Nurfazana Burut menyatakan perasaan sangat gembira dan bersyukur kerana dapat menyertai kursus berkenaan dan berharap akan dapat menyertai kursus seperti ini di masa akan datang.

    “Selain itu, kursus seperti ini juga banyak membantu saya memahami dan mempelajari ajaran-ajaran asas agama Islam bagi mengukuhkan pegangan terhadap agama Islam di samping membantu saya menghayati dan mengamalkan ajaran-ajaran Islam dengan cara menjalani latihan praktikal dalam amal ibadat serta membiasakan saya dengan kehidupan cara Islam serta untuk memperlihatkan kepada orang-orang yang belum beragama Islam akan usaha-usaha dan pemedulian terhadap orang-orang mualaf,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda