Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Seramai 30 orang pelanggan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah dipilih sebagai pemenang bulanan Kempen BIBD Mega 30 dan menerima hadiah mereka pada majlis yang berlangsung di Bangunan PGGMB di ibu negara,
hari ini.
Para pemenang berkenaan membawa pulang kredit BIBD Virtual Mastercard (vCard) bernilai $300.
Majlis juga menyaksikan tiga orang pemenang kejutan membawa pulang baucar membeli-belah bernilai $300.
Hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pengurus Kanan, Pembangunan Perniagaan Korporat di Kumpulan Perbankan Korporat BIBD, Pengiran Sanusi bin Pengiran Haji Ismail.
Kempen berkenaan merupakan acara kemuncak Sambutan Ulang Tahun BIBD ke-30 yang bertujuan untuk menyatakan penghargaan kepada pelanggan yang dihargai yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan bank berkenaan selama ini.
Sebagai sebahagian daripada kempen itu, BIBD memilih 30 orang pemenang setiap bulan, dan tiga orang pemenang suku tahunan dan tiga orang lagi bagi pemenang utama, menjadikan kempen berkenaan sebagai perayaan penghargaan pelanggan selama
setahun.
Kempen yang bermula awal Mac lalu sehingga penghujung November itu terbuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada. Peserta layak menyertai kempen dengan memohon
produk, perkhidmatan, kemudahan pembiayaan dan melakukan transaksi yang layak.