Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Seramai 33 orang pegawai dan kakitangan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dua buah syarikat swasta iaitu Print Plus Sdn Bhd dan Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) telah mengikuti Kursus Marsyal Bomba, baru-baru ini.
Kursus selama tiga hari yang bermula 10 Oktober lalu itu dijalankan di Bangunan Teknikal Ibu Pejabat JBP, Jalan Landasan Lama Berakas dan dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).
Menurut JBP, peserta dide-dahkan akan pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal mengenai sebab dan punca berlakunya kebakaran dengan mengetahui tindakan apabila menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat latihan pengosongan bangunan secara bersistematik.
Selain itu, turut diterangkan adalah mengenai tatacara penggunaan alat-alat pemadam api dan selimut api dengan cara yang betul dan cara menyelamatkan diri daripada terperangkap di dalam bangunan apabila berlakunya kebakaran.
Peserta kursus juga berpeluang mengadakan lawatan ke Balai Unit Operasi Wanita dan mengenali perkakas-perkakas serta peralatan bomba.



