BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jun – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Subok, semalam, telah mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Golongan Memerlukan sempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di kediaman ketua Kampung Subok.
Penyerahan sumbangan kepada 33 penerima telah disempurnakan oleh penasihat-penasihat MPK Subok iaitu Ketua Kampung Subok, Awang Mohd Jais bin Mohd Salleh dan Haji Majid bin Haji Japar serta Pengurus Syarikat Dayang Tengah, Haji Haja Mohideen, selaku penyumbang.
Sumbangan yang diberikan kepada mereka yang memerlukan ini berupa barangan asasi bagi membantu mereka dalam sama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba di samping sumbangan daripada para penduduk kampong.
Majlis dianjurkan oleh MPK Subok ini bertujuan untuk menggalakkan penderma-penderma yang lain untuk tampil memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bagi meringankan beban dalam membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri agar mereka turut sama merasakan nikmat berhari raya.

