Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Setakat 12 tengah hari ini, tiada kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan di Negara Brunei Darussalam menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal seramai 146 orang dan tidak ada kes yang aktif.
Kes terakhir jangkitan tempatan ialah pada 6 Mei 2020 dan jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah lima kes. Pengemaskinian status tersebut telah dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan melalui Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini.
Selain itu, Kementerian Kesihatan turut mengongsikan bahawa seramai 330 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dengan seramai 6,707 orang telah menamatkan pengasi- ngan diri mandatori sejak Mac 2020. Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 382 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 61,591 ujian.
Kementerian Kesihatan juga memaklumkan bahawa orang ramai yang ingin mendapatkan ujian saringan SARS-CoV-2 (ujian swab) terutama sekali mereka yang ingin membuat perjalanan keluar negara hendaklah menjalankan ujian saringan sekurang-kurangnya tiga ke lima hari sebelum tarikh penerbangan mereka tertakluk kepada syarat-syarat negara yang akan dituju. Hasil bagi ujian berkenaan akan mengambil masa dan orang ramai hendaklah bersabar untuk mendapatkan keputusan ujian mereka.
Ujian boleh dibuat di Pusat Kesihatan Berakas pada waktu bekerja, manakala itu, setiap Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam dibuka dari 2 petang hingga 5:30 petang sementara itu, di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) ia beroperasi setiap hari kecuali hari kelepasan awam, dari pukul 7 pagi hingga 10 malam.