Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    331 amil dilantik

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Seramai 331 orang amil telah dilantik oleh Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) bagi mengutip pembayaran zakat fitrah dan zakat harta untuk 142 kawasan dalam bulan Ramadan ini.

    Daripada jumlah berkenaan, 193 orang amil dilantik bagi 80 kawasan mengutip zakat di Daerah Brunei dan Muara, 25 bagi 16 kawasan di Daerah Belait, 53 orang bagi 30 kawasan di Daerah Tutong dan 24 orang amil bagi 12 kawasan di Daerah Temburong.

    Di samping itu, MUIB telah melantik seramai 36 orang amil bagi empat kawasan mengutip zakat terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan tersebut.

    Para amil yang dilantik terdiri daripada kalangan imam, bilal dan merbut, pegawai hal ehwal masjid, pegawai ugama, ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

    Pada tahun ini, pengutipan dan pembayaran zakat terdapat sedikit kelainan berbanding tahun-tahun sudah yang mana ia dijalankan di ruang legar masjid atau surau atau balai ibadat memandang masjid-masjid masih ditutup. Di samping itu, pembayaran zakat juga boleh dilakukan di bangunan-bangunan utama di setiap kementerian yang diaturkan secara berjadual.

    Waktu pembayaran zakat yang telah ditetapkan bermula dari pukul 8:30 pagi hingga 11 pagi dan 1 petang hingga 3 petang.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk membayar zakat lebih awal tanpa menunggu pada penghujung bulan Ramadan.

    Dalam pada itu, seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan, sewaktu melakukan pembayan zakat tidak perlu bersalaman, mengekalkan penjarakan sosial dan mematuhi arahan para petugas serta garis pandu yang diberikan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda