Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    331 individu kini dikuarantin di Labuan

    LABUAN, 30 MEI – Seramai 331 individu yang merupakan kontak rapat pesakit COVID-19 berada di tiga pusat kuarantin di sini setakat hari ini, kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

    Beliau berkata daripada jumlah itu, 163 orang ditempatkan di pusat kuarantin berisiko rendah di Dewan Serba guna Perbadanan Labuan dengan separuh daripada mereka merupakan wanita dan beberapa kanak-kanak.

    Pusat kuarantin di asrama Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri pula menempatkan 42 individu, sementara 126 lagi dimasukkan ke pusat kuarantin berisiko tinggi di Hospital Nukleus Labuan dengan tujuh daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan, katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata pihaknya juga telah menerima bantuan termasuk 200 katil daripada Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan bagi menampung keperluan berikutan peningkatan jumlah individu yang dimasukkan ke pusat kuarantin.

    Labuan merekodkan 253 kes baharu, dengan satu kluster baharu dikesan di Simpang Sungai serta satu kematian semalam.

    Kakitangan Kesihatan dari Jabatan Kesihatan Labuan memakai sut perlindungan penuh (PPE) semasa bertugas di pusat kuarantin di Dewan Perbadanan Labuan, kelmarin. – Bernama

    Sementara itu, satu perhimpunan semasa upacara pengebumian di Kampung Sungai Keling telah mencetuskan satu kluster baharu iaitu Simpang Sungai di pulau bebas cukai Labuan semalam selepas seorang lelaki berumur 38 tahun didapati positif COVID-19 dan menjangkiti enam yang lain.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata lelaki itu diuji positif pada 27 Mei lepas dan sekurang-kurangnya 28 orang (21 kes baharu dilaporkan hari ini) dalam kluster itu telah didapati positif sehingga kini.

    Terdapat dakwaan bahawa sesi minum-minum dan berjudi yang diadakan (selepas upacara pengebumian itu) telah menyebabkan situasi penularan COVID-19 semakin memburuk.

    Dr Ismuni Bohari turut mendedahkan bahawa beberapa premis perniagaan di pelbagai bahagian di pulau itu dan Kampus Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah Labuan (UMSKAL) telah diarahkan ditutup sementara untuk sanitasi.

    Labuan telah diletakkan di bawah PKPB selama sebulan bermula 26 Mei selepas merekodkan peningkatan mendadak kes baharu sejak awal bulan ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda