TUMPAT, 30 SEPT – Polis merampas 34 lembu seludup dari negara Thailand bernilai RM136, 000 dalam satu serbuan di Kampung Mentua, Pengkalan Kubur semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Ab Rashid Mat Daud berkata serbuan terbabit dilakukan oleh pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 dan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Tumpat pada 11.00 malam tadi.
“Serbuan itu dilakukan hasil daripada maklumat awam yang diperoleh berkaitan aktiviti penyeludupan haiwan terbabit dari negara jiran untuk di bawa masuk ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand yang berdekatan di daerah ini.
Hasil daripada serbuan berkenaan pihak kami berjaya mengesan 34 ekor lembu untuk pasaran tempatan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini, hari ini. Ab Rashid berkata dalam serbuan itu pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 38 tahun yang dipercayai menjalankan aktiviti terbabit.
“Suspek telah mengaku lembu-lembu terlibat adalah miliknya untuk dipasarkan di sekitar negeri ini.
Kami mendapati lembu-lembu terbabit dibawa secara berenang daripada sungai (sempadan) yang terletak 900 meter daripada tempat serbuan dan kemudian dibawa dengan berjalan kaki sebelum disimpan di dalam kandang,” katanya. – Bernama
