Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    34 keluarga mangsa musibah terima bantuan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seramai 34 ketua keluarga mangsa musibah rumah roboh di Kampung Sungai Matan dan kebakaran rumah di Kampung Pandai Besi ‘A’ dan Kampung Sungai Panga, Daerah Brunei dan Muara telah menerima wang agihan zakat sebanyak $27,800 pada majlis penyerahan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

    Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei.

    Penyerahan agihan zakat tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB), Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Yayasan.

    Pada majlis berkenaan, ketua ke-luarga yang beragama Islam tersebut telah menerima agihan zakat daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin. Musibah rumah roboh di Kampung Sungai Matan berlaku pada 12 Oktober, manakala kejadian kebakaran rumah di Kampung Pandai Besi ‘A’ berlaku pada 28 Oktober dan di Kampung Sungai Panga pada 3 November.

    Bantuan itu diharap dapat meringankan beban para mangsa dalam meneruskan kehidupan seharian, di samping mencerminkan keprihatinan serta komitmen kerajaan dan institusi-institusi berkaitan dalam membantu golongan yang ditimpa kesusahan akibat musibah.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim menyampaikan sumbangan kepada mangsa musibah rumah roboh di Kampung Sungai Matan dan kebakaran rumah di Kampung Pandai Besi ‘A’ dan Kampung Sungai Panga. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda