Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini, telah mengadakan kempen derma darah yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat JKR.
Kempen diadakan bersempena Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan 2019, JKR dan bermula dari pukul 9 pagi hingga 11:30 pagi di mana sebanyak 34 pain darah berjaya dikumpulkan.
Ia bertujuan untuk menggalakkan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat serta untuk meningkatkan kesedaran mengenai manfaat menderma darah terhadap tubuh badan dan kesihatan penderma.
Selain itu, ia bermatlamat untuk membantu menambahkan tabung darah bagi keperluan sesiapa sahaja yang memerlukannya di samping membantu Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS memenuhi misi bagi memastikan ketersediaan bekalan darah yang selamat dan boleh dipercayai.
