Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi seramai 34 orang pegawai kanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) untuk dinaikkan pangkat.
Majlis Kenaikan Pangkat pegawai-pegawai kanan berkenaan telah berlangsung di Mes Pegawai Bolkiah Garison, hari ini, di mana hadir dan menyempurnakan kenaikan pangkat ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, pemangku setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB, para jemputan khas serta ahli keluarga pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat.
Pada majlis berkenaan, lima pegawai dinaikkan pangkat ke Kolonel Tetap, 20 orang pegawai ke Leftenan Kolonel Tetap manakala itu, sembilan orang pegawai ke Pemangku Leftenan Kolonel.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pegawai Jabatanarah Agama ABDB, Kapten Abdul Mu’iz Azizi bin Zulkifli bagi memberkati majlis berkenaan.