Tuesday, April 22, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    34 pelajar sertai Olimpik Biologi Pertengahan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Seramai 34 orang pelajar biologi Tahun 12 dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah menyertai Olimpik Biologi Pertengahan anjuran UK Biology Competitions (UKBS), baru-baru ini.

    Organisasi berkenaan bekerjasama rapat dengan Royal Society of Biology dan University of Warwick untuk menganjurkan pertandingan biologi bagi pelajar di seluruh dunia yang mana pertandingan tersebut telah menerima kira-kira 9,000 penyertaan dari lebih 550 buah sekolah di seluruh dunia.

    Soalan-soalan dalam pertandi-ngan tersebut telah disusun mengikut tajuk biologi yang telah dipelajari semasa peringkat ‘A’ manakala soalan tambahan pula menghendaki pelajar menggunakan kemahiran dalam menyelesaikan masalah dan memahami prinsip teras biologi secara umum.

    Daripada 34 orang pelajar berkenaan, Mohamed Bassim Isa meraih anugerah emas, enam pelajar yang terdiri daripada Beverly Liaw, Elmeeza Yasrinal Eddy, Gabriel Chan, Jayden Ang, Josh Lindsay dan Patricia Sim memenangi anugerah perak dan Ye Htet Oo memenangi anugerah gangsa.

    Manakala itu, lima lagi pelajar JIS mendapat ‘kepujian tertinggi’ dan sembilan lagi mendapat ‘kepujian’ yang mana secara keseluruhannya, 65 peratus pelajar senior JIS yang menyertai diberikan kepujian atau yang lebih tinggi.

    Pengetua JIS, Nicholas Sheehan menjelaskan, ini adalah kali pertama Jabatan Biologi memasukan pelajar untuk menyertai pertandingan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang mana biologi peringkat ‘A’ merupakan subjek yang popular di sekolah berkenaan dan beliau sangat berbangga dengan pencapaian luar biasa ini.

    Nicholas Sheehan dan para pelajar yang menyertai pertandingan bergambar ramai. – Gambar serahan JIS

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda