CANBERRA, 19 OGOS – Satu pertiga remaja Australia dilaporkan memikirkan atau merancang untuk membunuh diri dalam tempoh 12 bulan lalu, menurut laporan kerajaan yang diterbitkan hari ini.
Agensi kerajaan, Australian Institute of Family Studies (AIFS), dalam laporan berkenaan mendedahkan 34 peratus remaja berusia antara 14 hingga 19 tahun melaporkan pernah mempunyai fikiran atau tingkah laku berkaitan bunuh diri sepanjang setahun kebelakangan ini.
Daripada jumlah itu, 38 peratus adalah remaja perempuan manakala 31 peratus remaja lelaki, menurut laporan yang berasaskan data Kajian Longitudinal Kanak-kanak Australia (LSAC) – penyelidikan utama AIFS yang menjejaki perkembangan 10,000 kanak-kanak dan keluarga mereka sejak 2004.
Data terbaharu menunjukkan pemikiran, perancangan dan percubaan bunuh diri dalam kalangan remaja perempuan memuncak pada usia 16 hingga 17 tahun sebelum menurun.
Bagi remaja lelaki, kemuncak berlaku pada usia sama, namun kekal stabil sehingga usia 18 hingga 19 tahun.
Kajian itu turut mendedahkan sembilan peratus remaja lelaki berusia 14 hingga 19 tahun pernah cuba membunuh diri tanpa sebarang pemikiran atau perancangan terdahulu, berbanding enam peratus remaja perempuan.
“Penyelidikan ini menunjukkan bahawa pemikiran dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja adalah kompleks, tidak dapat dijangka dan sering kali tidak mengikuti pola linear,” kata Pengurus Kajian Kanan AIFS, Agatha Faulkner, dalam satu kenyataan.
“Sesetengah remaja cuba membunuh diri tanpa sebarang tanda atau perancangan, yang boleh mengejutkan keluarga serta rakan mereka. Bagi remaja lelaki dalam kajian ini, ia memuncak pada usia 14 hingga 15 tahun, menunjukkan intervensi kesihatan mental perlu bermula pada usia yang sangat awal,” tambahnya. – Xinhua


