Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    38 peserta Kursus Induksi ASEAN-ERAT diraikan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Seramai 38 orang peserta telah menyertai dan diraikan dalam majlis Graduasi Kursus Induksi ASEAN Emergency Response and Assessment Team (ASEAN-ERAT) ke-15 yang berlangsung di Ruang Bilik Mes Pegawai, Dewan Serba guna Bomba dan Penyelamat, Jalan Landasan Lama, Berakas, hari ini.

    Peserta-peserta program berkenaan terdiri daripada perwakilan dari negara-negara anggota ASEAN termasuk Timor Leste di mana mereka berjaya menamatkan latihan induksi yang diadakan selama sembilan hari di salah sebuah hotel di Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil serta ves ASEAN-ERAT kepada para peserta ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut; Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon; Pengarah Eksekutif AHA Centre; Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan; Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat; Pemangku Pegawai Daerah Beliat; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta ahli-ahli ASEAN-ERAT Advisory Group (AG), ASEAN-ERAT Negara Brunei Darussalam dan ahli Disaster Preparedness Coordinator (DPC) Brunei Darussalam.

    Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Kolonel (B) Muhd Harrith bin Haji Muhd Jamin dalam ucapannya semasa majlis berkenaan menyatakan bahawa dengan graduasi seramai 38 orang peserta berkenaan, keluarga ASEAN-ERAT telah bertambah kepada seramai 422 orang ahli termasuk dari Timor Leste.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bersama antara tetamu yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta semasa majlis berkenaan.
    – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beliau menyatakan lagi bahawa berbekal dengan kemahiran dan pengetahuan yang baharu, para peserta kini dilengkapi untuk bertindak dengan cepat dan efektif bagi bencana-bencana utama di serata rantau ASEAN berdasarkan kepada permohonan daripada negara-negara anggota.

    Pada masa yang sama, manfaat daripada Program ASEAN-ERAT tidak boleh dinafikan, di mana ia mengukuhkan mekanisme tindakan serantau dan memupuk kerjasama dalam kalangan negara ASEAN semasa krisis.

    Kursus Induksi ASEAN-ERAT merupakan projek tahunan ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre) dengan kerjasama rapat negara anggota ASEAN yang bertindak sebagai tuan rumah bagi kursus berkenaan.

    Bagi Kursus Induksi ASEAN-ERAT ke-15, Negara Brunei Darussalam melalui Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan selaku Pengerusi ASEAN Committee on Disasters Management bagi 2024 telah menjadi tuan rumah bagi penganjuran kursus berkenaan.

    Kursus induksi berkenaan telah bermula pada 26 Februari hingga hari ini yang memuatkan latihan-latihan sesi dalam kelas dan disusuli dengan latihan Simulasi ASEAN-ERAT yang berlangsung selama 52 jam bertujuan untuk memberikan latihan menangani bencana yang komprehensif kepada para peserta ASEAN-ERAT.

    Latihan simulasi berkenaan telah berlangsung di Dewan Serba guna Bomba dan Penyelamat dan di Bangunan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.

    Kursus peringkat ASEAN itu adalah disokong sepenuhnya oleh pihak kerajaan Jepun melalui Dana Integrasi Jepun-ASEAN (JAIF) yang bertujuan bagi mengiktiraf warga ASEAN yang dilantik dan dilatih menjadi ahli pasukan ASEAN-ERAT sebagai pasukan yang bersedia untuk dikerahkan apabila diperlukan bagi membantu dan menyokong negara anggota ASEAN yang terjejas sejurus selepas bencana.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda