Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    34 peserta program dakwah terima sijil

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – Seramai 34 orang peserta yang berjaya menamatkan Program Akademi Dakwah 5.0, telah diraikan dalam Majlis Konvokesyen Akademi Dakwah 5.0 yang berlangsung di Sekolah Ugama Arab Menengah Pengiran Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah serta sijil kepada para peserta ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Mujadalah, ayat 11 secara berjemaah dipimpin oleh Awangku Muhammad Abdul Majeed Ariffin bin Pengiran Haji Md Abdul Aziz, diikuti sesi ‘ibrah yang disampaikan oleh Dayang Aaliah @ Siti Nur Qamariah Almuktafibillah binti Haji Mohammad Rafee, yang mengingatkan para hadirin tentang kepentingan menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup selain menyampaikan pengajaran rohani yang mendalam kepada semua yang hadir.

    Dalam ucapannya, Yang Berhormat Pehin berkata, “Harapan saya dan tentunya harapan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ialah kami ingin mendorong peserta-peserta Akademi Dakwah untuk terus mempertajam dakwah mereka dengan menambah ilmu dan mendapatkan pengalaman sendiri atau bercontoh kepada da’ie-da’ie yang berjaya.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan sijil kepada para peserta pada Majlis Konvokesyen Program Akademi Dakwah 5.0 kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Antara peserta program yang diraikan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Sesi ibrah yang disampaikan oleh Dayang Aaliah @ Siti Nur Qamariah Almuktafibillah. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Berdakwahlah menerusi saluran-saluran yang berkembang pesat pada masa sekarang dan akan datang yang mudah sampai kepada khalayak, dengan berpegang kepada dasar-dasar utama dakwah, antaranya seperti Firman Allah Ta’ala, dalam Surah An-Nahl ayat 125.

    Tafsirnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Nabi Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik.

    “Sesungguhnya Tuhanmu, Dia yang lebih mengetahui siapa yang sesat daripada jalanNya dan Dialah juga yang mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”.”

    Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada para graduan yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin.

    Acara diserikan dengan tayangan video ristaan program yang memperlihatkan perjalanan penuh bermakna sepanjang pelaksanaan Akademi Dakwah 5.0, merangkumi pengisian ilmu, aktiviti lapangan dan latihan dakwah yang telah dilalui oleh para peserta.

    Seterusnya, Yang Berhormat Pehin bersama para jemputan beredar ke kawasan pameran bagi menyaksikan hasil kerja para peserta Akademi Dakwah 5.0.

    Pameran berkenaan memperlihatkan pelbagai projek dan aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang program, menunjukkan kreativiti, dedikasi dan keupayaan para peserta dalam menyampaikan mesej dakwah secara efektif.

    Pusat Dakwah Islamiah, KHEU terus menunjukkan komitmen padu dalam melahirkan generasi pendakwah muda yang bersedia menghadapi cabaran semasa melalui Program Akademi Dakwah 5.0 dengan membawa slogan, ‘Berdakwah dengan Ilmu dan Iman, Berakhlak Mulia Jadi Da’ie Tauladan.’

    Menerusi program tersebut, para peserta berjaya menamatkan siri pengajian, bimbingan dan latihan intensif yang bukan sahaja memperkukuh penguasaan ilmu agama para peserta, malah membimbing mereka dalam membina keimanan yang teguh, akhlak yang mulia serta kemahiran dakwah yang relevan dengan keperluan masyarakat masa kini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda