Saturday, June 29, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    34 peserta terima sijil program muzium

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Seramai 34 peserta dan pemerhati yang menyertai Program Pengurusan Koleksi Muzium selama tiga hari telah menerima sijil masing-masing pada majlis penutup program yang berlangsung di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, selaku ahli Lembaga Penasihat BKISHHB.

    Terdahulu, Pemangku Pengarah BKISHHB, Pengiran Mohammad Jeffrynul Hafli bin Pengiran Haji Ali dalam ucapan penutup antara lain menzahirkan penghargaan kepada pihak Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Brunei, penceramah jemputan dan ahli jawatankuasa kerja yang melaksanakan program dengan jayanya.

    Beliau turut menggalakkan peserta agar mendalami ilmu yang telah dipelajari dan memanfaatkan jalinan kerjasama yang dibentuk semasa program itu, di samping mengamalkan pengetahuan yang diperolehi dan menerapkan dalam pekerjaan masing-masing.

    “Selain memastikan koleksi muzium sentiasa dipelihara dan diurus dengan cermat dan juga teliti,” jelasnya lagi.

    Peserta program adalah dari BKISHHB, Jabatan Muzium-muzium, Pusat Sejarah Brunei, Pusat Dakwah Islamiah, Muzium Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Muzium Pasukan Polis Diraja Brunei dan Galeri Matawang Negara Brunei Darussalam.

    Program tersebut diadakan dengan kerjasama Kedutaan Besar AS di negara ini, dengan menjemput pakar di bawah Program Speaker AS, Timbalan Pengarah Interim bagi Koleksi dan Pameran di Smithsonian National Museum Asian Art, Danielle Bennet.

    Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Ketua Misi di Keduataan Besar AS di Negara Brunei Darussalam, Christoper Pritchett.

    Dato Seri Paduka Mohd Riza semasa bergambar ramai bersama peserta program. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD
    Salah seorang peserta program menerima sijil daripada tetamu kehormat majlis. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China pecat bekas menteri pertahanan

    BEIJING, 28 JUN - Bekas menteri pertahanan China, Li Shangfu telah dipecat daripada Parti Komunis yang memerintah kerana menyebabkan ‘kerosakan besar kepada puncanya’ melalui...