Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, hari ini, telah mengadakan Majlis Penyampaian Insentif Pemecah Rekod Sukan Olahraga dan Renang di Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (BDSG) kali ke-2, Tahun 2024, yang berlangsung di Dewan Kuliah, Sekolah Sukan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum Jabatan Pendidikan Kokurikulum di Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Norilham bin Haji Jais, yang menyampaikan insentif kepada para atlet yang berjaya memecahkan rekod dalam kejohanan tersebut.
Pegawai Pelajaran Kanan dan Ketua Bahagian Jasmani & Rekreasi, Awang Sukardi bin Kaderi selaku pengerusi majlis, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa sebanyak 34 rekod telah diperbaharui, terdiri daripada 23 rekod dalam sukan olahraga dan 11 rekod dalam sukan renang. Selain itu, dua rekod kebangsaan juga berjaya diperbaharui dalam sukan renang.
“Kejuaraan ini bukan hanya bertujuan menyediakan pertandingan, tetapi juga sebagai platform untuk memberi pengalaman luar bilik darjah kepada para peserta, serta menerapkan nilai-nilai murni seperti semangat berpasukan, kerjasama, setiakawan, jatidiri
dan patuh kepada peraturan,” ujarnya.
Beliau juga menambah, kedua-dua edisi BDSG telah memperlihatkan impak yang positif, membantu dalam pembinaan generasi holistik yang bakal menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan Negara Brunei Darussalam.
Mengenai perkembangan BDSG, Awang Sukardi mengimbas bahawa edisi pertama pada tahun 2022 hanya mempertandingkan empat sukan, dengan penglibatan sekitar 800 orang.
Namun, pada BDSG yang berlangsung pada November 2024, jumlah sukan yang dipertandingkan meningkat kepada tujuh, dengan tambahan sukan bola jaring, bola keranjang dan pencak silat.
Jumlah penglibatan keseluruhan juga meningkat kepada 1,600 orang, termasuk atlet-pelajar, pegawai kontinjen, pegawai teknikal dan pegawai pengurusan.
“BDSG juga telah melahirkan atlet-pelajar berpotensi, termasuk atlet-pelajar berkeperluan khas,” tambah beliau.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memotivasi para atlet, Jabatan Pendidikan Kokurikulum turut menyediakan insentif bagi mereka yang berjaya memecahkan rekod kejohanan dan rekod kebangsaan. Insentif tersebut mula diperkenalkan pada BDSG pertama untuk pemecahan rekod kebangsaan dan kini dilanjutkan untuk pemecahan rekod kejohanan.
Awang Sukardi berharap, melalui insentif berkenaan, para atlet-pelajar akan terdorong untuk meningkatkan lagi prestasi mereka dalam bidang sukan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan tayangan video mengenai BDSG dan diikuti dengan penyampaian sijil serta hadiah insentif kepada para atlet-pelajar yang berjaya memecahkan rekod kejohanan dan kebangsaan.
BDSG kali ke-2 telah berlangsung pada 18 hingga 23 November 2024.