Gambar serahan Passion Ku
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 DIS – Bersempena dengan Festival Disember Brunei, Passion Ku dan Hockey Go Run bersama-sama menganjurkan acara sukan larian Brunei Backyard Ultra, pada 24 Disember lalu.
Seramai 34 orang peserta dari seluruh negara telah menyertai acara tersebut, yang bermula pada pukul 8 malam, di Dewan Sekolah Chung Hwa Labi dengan konsep lariannya yang unik untuk dipatuhi iaitu peserta berlari sejauh 6,706 meter yang mana laluannya bermula dan berakhir di gelanggang tersebut dengan masa di bawah satu jam.
Dalam pada itu, peserta yang melebihi masa satu jam akan tersingkir daripada perlawanan berkenaan, yang mana konsep ini akan terus berulang setiap satu jam hingga hanya seorang peserta yang tinggal akan memenangi acara berkenaan.
Awang Amirul bin Tuah telah memenangi gelaran Last One Standing setelah berjaya menamatkan cabaran dengan kejauhan 127.41 kilometer dalam masa 19 jam yang berakhir pada pukul 3 petang, kelmarin yang juga menandakan penamat bagi anjuran acara berkenaan.
Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Pemangku Ketua Kampung Labi II, Awang Mohammad Nurazri bin Haji Abdul Mustafah.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/12/P6-B-paperweb_27122022.jpg)