JAKARTA, 14 JUN – Skuad antipengganas (Densus 88) Polri dan polis Kalimantan Tengah menahan seramai 34 suspek pengganas, termasuk wanita dan kanak-kanak, di Kota Palangkaraya, Kalimantan Tengah dan Kabupaten Gunung Mas, lapor agensi berita Vietnam (VNA) memetik media tempatan.
Suspek ditahan kerana mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas Jamaah Ansharut Daulah (JAD).
Pesuruhjaya Kanan Polis Kalimantan Tengah, Hendra Rochmawan berkata dua daripadanya merupakan penduduk Palangkaraya, manakala identiti yang lain masih disiasat.
JAD dianggap kumpulan berbahaya, kerana semua anggotanya menerima latihan memasang bom letupan kuat selama enam bulan.
Anggota kumpulan itu boleh menghasilkan bom yang boleh dikendalikan menggunakan telefon bimbit. Rochmawan berkata JAD menyasarkan anggota polis di Jakarta, bukan di Kalimantan Tengah.
Semasa serbuan yang dijalankan di beberapa lokasi di wilayah itu, skuad Densus 88 Indonesia turut merampas peralatan membuat bom. – Bernama