Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    34 terima hadiah Kuiz Hari Kebangsaan

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar oleh RTB

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Seramai 34 orang menerima hadiah berupa barangan elektrik apabila memenangi Kuiz Hari Kebangsaan ke-34 (HK 34) sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-34 yang dikendalikan oleh kelima-lima rangkaian Radio Brunei iaitu Rangkaian Nasional, Rangkaian Pilihan, Rangkaian Pelangi, Rangkaian Harmoni dan Nur Islam.

    Para pemenang menerima hadiah mereka dalam Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz HK 34 yang berlangsung di Studio Al-Ansar, Ibu Pejabat Radio Televisyen Brunei (RTB), Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pengarah RTB, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu.

    Haji Muhammad Suffian dalam ucapannya di majlis berkenaan menyatakan bahawa Kuiz Radio HK 34 diadakan sebagai usaha untuk menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 yang mana ia bersesuaian dengan peranan RTB selaku media penyebar maklumat kerajaan yang terus menggiatkan lagi peranan penyebaran dan penyiaran maklumat melalui kaedah-kaedah yang lebih berkesan dan terkini supaya dapat diterima, difahami dan disokong oleh pendengar radio.

    Haji Muhammad Suffian bergambar ramai bersama para pemenang semasa Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz HK 34 yang berlangsung di Studio Al-Ansar, RTB kelmarin.

    Ke arah itu, jelasnya, warga radio harus terus merencana dan mengambil langkah-langkah serta menggiatkan peranan dalam mewujudkan suasana penyiaran awam yang lebih berdaya maju yang memberikan impak yang positif dan berguna kepada masyarakat dan negara.

    “Semoga inisiatif seumpama ini juga mampu menyuntik semangat patriotisme dan cintakan tanah air tercinta yang dengannya nanti membawa semangat berbangsa dan bernegara yang lebih tinggi di samping mengajak para pendengar ini senantiasa peka dengan isu-isu semasa dan kenegaraan,” tambahnya.

    Daripada seramai 34 orang pemenang kuiz berkenaan seramai 25 orang penerima hadiah merupakan pemenang kuiz secara panggilan (phone in) dan sembilan orang lagi ialah pemenang kuiz yang diterbitkan secara sistem pesanan ringkas (SMS).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda