Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    342 penduduk Gaza maut sejak Israel langgar gencatan senjata

    ISTANBUL, 23 NOV – Tentera Israel melakukan 497 pelanggaran terhadap gencatan senjata di Semenanjung Gaza sejak ia berkuat kuasa, mengakibatkan 342 orang maut dan 875 yang lain cedera, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Pejabat Media Kerajaan Gaza kelmarin.

    Pejabat media itu menuduh Israel secara sistematik menjejaskan perjanjian berkenaan melalui serangan maut dan pencerobohan berulang.

    Menurut pejabat itu, sebanyak 27 pelanggaran direkodkan kelmarin, menyebabkan 24 kematian dan 87 kecederaan. Ia menyifatkan corak tindakan itu sebagai ‘pelanggaran terang-terangan’ terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta protokol kemanusiaan yang dilampirkan pada perjanjian gencatan senjata.

    Pelanggaran Israel sejak 10 Oktober termasuk 142 insiden tembakan yang menyasarkan orang awam, rumah dan khemah pelarian; 21 pencerobohan darat melangkaui ‘garisan kuning’; 228 serangan udara, artileri dan darat; serta 100 insiden perobohan rumah dan struktur awam, yang disifatkannya sebagai ‘hukuman kolektif’ dan usaha untuk meluaskan kemusnahan.

    Pejabat media itu berkata 35 penduduk Palestin turut ditahan dalam serbuan dan pencerobohan, sambil menuduh Israel cuba, “mewujudkan realiti baharu yang berdarah serta mengancam keselamatan dan kestabilan di Semenanjung Gaza.”

    Pasukan Pertahanan Awam Palestin di Semenanjung Gaza sebelum ini memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin terbunuh kelmarin dalam serangan udara Israel yang menyasarkan rumah dan sebuah kenderaan di beberapa kawasan Gaza, dalam pelanggaran baharu terhadap gencatan senjata.

    Israel terus menduduki lebih 50 peratus kawasan Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata, dengan ‘garisan kuning’ memisahkan kawasan penempatan tentera Israel daripada kawasan didiami oleh rakyat Palestin.

    Tentera Israel baru-baru ini meningkatkan semula serangan di sebelah timur garisan kuning, memusnahkan kawasan yang luas dan menjadikan kawasan sekitar semakin berbahaya kepada orang awam.

    Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh hampir 70,000 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mencederakan lebih 170,800 individu serta menjadikan wilayah itu hampir keseluruhannya musnah. Serangan itu terhenti di bawah perjanjian gencatan senjata Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. – Bernama/Anadolu 

    Tentera Israel menjalankan serbuan di bandar Nablus, Gaza yang diduduki pada 20 November. 342 penduduk Gaza maut. – Gambar fail AFP 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda