Friday, January 17, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    347 operasi JIPK sepanjang tahun 2024

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Sebanyak 347 aktiviti operasi telah dijalankan sepanjang tahun 2024 oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), termasuk Operasi Bersepadu dengan agensi-agensi penguat kuasa.

    JIPK dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini, turut mengongsikan dalam statistiknya bahawa seramai 735 orang warga asing yang diusir kerana telah melakukan kesalahan di bawah agensi-agensi penguat kuasa seperti JIPK, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan lain-lain lagi.

    Manakala bagi statistik individu yang didakwa di mahkamah dan diambil tindakan denda kompaun serta jumlah kutipan denda kompaun bagi tahun 2024 telah mencatat sebanyak 44 orang yang didakwa di mahkamah, sementara 2,849 orang telah dikenakan denda kompaun dan jumlah kompaun yang dikutip adalah sebanyak $1,319.

    Sehubungan itu, berdasarkan kesalahan-kesalahan yang direkodkan, kesalahan yang tertinggi adalah di bawah Peraturan 35(2) Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu kegagalan majikan / individu untuk menyambung tempoh pas kerja bagi pekerja mereka hingga ianya mansuh.

    Ia diikuti dengan kesalahan kedua tertinggi adalah di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu warganegara asing tinggal lebih masa di negara ini setelah pas mereka mansuh.

    Manakala kesalahan ketiga yang tertinggi ialah warganegara asing menyalahi syarat-syarat yang tercatat dalam pas-pas imigresen yang diberikan.

    JIPK mengingatkan kepada orang ramai untuk lebih peka tentang akibat-akibat jika melakukan kesalahan dan melanggar akta dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JIPK.

    Di samping itu, jabatan tersebut juga sentiasa mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung dengan pesalah Imigresen dengan menghubungi talian Hotline Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan di talian 8734888 / 8753888 (Bandar Seri Begawan) / 8984111 (Kuala Belait).

    Salah satu operasi yang dijalankan pada tahun lepas oleh JIPK. – GAMBAR SERAHAN JIPK
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda