35 dikurniakan bintang kebesaran

Oleh Yusrin Junaidi & Azaraimy HH

Gambar oleh Azrol Azmi & Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin, berkenan mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-71 tahun.

Istiadat berkenaan berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman di mana seramai 35 orang dikurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam.

Dua orang telah dikurniakan Darjah Paduka Keberanian Laila Terbilang Yang Amat Gemilang Darjah Pertama (D.P.K.T) yang membawa gelaran ‘Dato Paduka Seri’ iaitu Ketua Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Polisi Dr. Andas Haji Mohammad Tito Karnavian.

Sementara itu, lapan orang telah dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Pertama (S.P.M.B) yang membawa gelaran ‘Dato Seri Paduka’.

Penerimanya ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud; Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah; Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dato Paduka Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof; Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ketika berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ketika berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenaan mengurniakan bintang-bintang kebesaran kepada beberapa orang penerima.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenaan mengurniakan bintang-bintang kebesaran kepada beberapa orang penerima.

Dua orang lagi telah dikurniakan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Kedua (D.S.S.U.B) yang membawa gelaran ‘Dato Seri Setia’.

Mereka ialah Hakim di Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Arif Pengiran Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof dari Jabatan Mufti Kerajaan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua (D.P.M.B) yang membawa gelaran ‘Dato Paduka’ kepada 13 orang penerima.

Para penerimanya ialah Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Rusia, Haji Haini bin Haji Hashim; Setiausaha Tetap di Pejabat Perdana Menteri, Haji Hamzah bin Haji Sulaiman; Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Kapten (B) Abdul Rahman bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar; Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan, Awang Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Haji Awang Rosli bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh; Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali; Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman; Haji Husaimee Ahmad bin Haji Hussin; Duta Besar Brunei Darussalam ke Jerman, Hajah Rakiah binti Haji Abdul Hamid @ Lamit; Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Maslina binti Haji Mohsin; Hajah Hindun binti Dato Paduka Haji Noordin dan Hajah Fara binti Dato Haji Nasir.

Sementara itu, tiga orang penerima dikurniakan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Ketiga (S.S.U.B) iaitu Haji Rosle bin Haji Jumat @ Jumaat; Haji Mas Raduan bin Haji Jumat dari Jabatan Mufti Kerajaan dan Hajah Siti Noor Dzuhairah binti Haji Awang Damit, juara Musabaqah Al-Quran Kebangsaan.

Tujuh orang penerima pula dikurniakan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Ketiga (S.N.B). Penerima-penerimanya ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Shaikh Haji Fadilah bin Shaikh Haji Ahmad; Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi dari Pejabat Peguam Negara; Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Profesor Madya di Universiti Brunei Darussalam; Pengurus Besar The Empire Hotel & Country Club, Nigel Badminton; Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei, Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Hajah Noor Qamar binti Haji Sulaiman.

Ahli kerabat diraja ketika berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Ahli kerabat diraja ketika berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Beberapa orang penerima yang ditemui rata-ratanya melahirkan rasa gembira dan bersyukur kehadrat Allah S.W.T atas kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenaan.

Dato Seri Paduka Haji Suhaimi berkata dengan adanya anugerah itu akan dapat berusaha lagi untuk membantu negara untuk menuju Wawasan Brunei 2035.

Mengulas titah Baginda Sultan mengenai perkembangan ekonomi, beliau berharap titah Baginda akan dijunjung serta bekerja keras dan memberikan komitmen 100 peratus untuk negara.

“Saya juga berharap Negara Brunei Darussalam akan sentiasa aman damai berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia,” tambahnya.

Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom berkata, titah Baginda antara lain telah menekankan mengenai pentingnya pendidikan, ia hendaklah diperkasakan, tidak dibiarkan layu dan lemah.

“Memang perkara pendidikan amatlah penting dalam membentuk generasi satu-satu bangsa dan ke arah itu, Kementerian Pendidikan akan terus berusaha meningkatkan mutu pendidikan dan juga memperkasa sistem pendidikan negara ini iaitu Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21. Mudah-mudahan dengan usaha semua pihak akan dapat direalisasikan dengan lebih sempurna dan baik,” ujarnya.

Media Permata juga berkesempatan menemu bual, Dato Seri Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew yang menekankan bahawa dalam meraikan pencapaian berkenaan, tidak harus melalaikan tanggungjawab semata-mata seperti mana dalam titah Baginda, supaya meneruskan usaha mempelbagaikan ekonomi negara, menyediakan peluang-peluang bagi perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana dan memberikan ruang pekerjaan kepada rakyat Negara Brunei Darussalam.

Manakala itu, Hajah Siti Noor Dzuhairah pula menekankan mengenai bidang agama yang harus diberikan perhatian sepenuhnya, agar para pelajar akan mendapat pendidik atau ilmu agama yang lebih baik.

Beliau juga berkata, perkembangan belia-belia yang menuntut dalam bidang Al-Quran memang cukup baik dan sangat menggalakkan, di mana Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah menyediakan beberapa kelas belajar Al-Quran dengan guru-guru yang cukup berpengalaman.