35 lagi langgar arahan Ops Pulih

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Seramai 35 orang telah melanggar arahan Operasi Pulih di seluruh negara dan dikeluarkan denda kompaun kerana tidak teranah di rumah bermula jam 8 malam sehingga 4 pagi tadi.

Hasil pemantauan agensi-agensi penguatkuasaan itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di, Kementerian Kesihatan hari ini.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato menasihatkan orang ramai terus mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan demi memulihkan semu-la keadaan negara daripada jangkitan COVID-19.

Dalam pada itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang diterima, turut mengongsikan dapatan sama, 35 orang dikenakan tindakan kompaun melibatkan kesalahan melanggar arahan kekal di rumah masing-masing, tidak mempunyai aplikasi BruHealth dan tidak memakai pelitup muka.

Pihak polis turut menegaskan orang ramai untuk kekal di rumah sepanjang 8 malam sehingga 4 pagi bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil ke atas mereka.

Selain itu, PPDB juga menasihatkan orang ramai sentiasa mengamalkan kawalan kendiri, jangan mengadakan sebarang acara berkumpulan dan sentiasa akur dengan arahan pihak kerajaan dalam usaha bersama-sama menjayakan Operasi Pulih tersebut.

Pemantauan polis di beberapa kawasan dalam masa dua hari lalu. – Gambar oleh Muiz Matdani