Friday, September 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel ajar urus jenazah dengan betul

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Seramai 35 orang Muslimah masjid kelmarin mengikuti Bengkel Menyempurnakan Jenazah bagi Kelas Bimbingan Muslimah Masjid anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba dan dikendalikan dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah dan ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan.

    Bengkel tersebut disampaikan oleh Muslimah Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba yang diketuai oleh Dayang Rostinah binti Haji Yahya.

    Ia diadakan untuk menambahkan lagi pengetahuan para Muslimah yang menyertai bengkel tersebut melalui penerangan secara teori dan praktikal mengenai tatacara pengurusan dan penyempurnaan jenazah.

    Di samping itu, ia juga bagi meningkatkan keyakinan para peserta bengkel dan berani untuk mengendalikan pengurusan jenazah dengan betul.

    Bengkel juga dihasrat menarik minat para Muslimah masjid untuk menubuhkan kumpulan penggapai di masjid-masjid sekali gus memudahkan orang ramai bagi mendapatkan khidmat penggapai bagi menyempurnakan jenazah terutama untuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan penglibatan para Muslimah dalam hal ehwal kemasyarakatan secara aktif dan sukarela. Bengkel ini juga diharap untuk menggalakkan penglibatan badan bukan kerajaan dalam program ilmu dan kemasyarakatan yang dikendalikan oleh masjid.

    Bengkel seumpama ini juga telah diadakan sebelum ini di dua buah masjid iaitu di Masjid Omar Ali Saifuddien dan di Masjid Kampung Lamunin, Daerah Tutong.

    Para peserta sedang menjalankan praktikal dalam bengkel berkenaan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda