Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Sebanyak 35 pain darah telah berjaya dikumpulkan semasa kempen derma darah anjuran Kementerian Pendidikan melalui Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di Tingkat Bawah, Atrium, OneCity, Salambigar hari ini.
Kempen bertujuan untuk membantu meningkatkan simpanan darah hospital di samping memberikan kesedaran kepada orang ramai akan manfaat menderma darah terhadap kesihatan serta memupuk sifat kebajikan dalam membantu pesakit yang memerlukan.
Ia turut dimeriahkan dengan pameran mengenai penyakit talasemia.
Jururawat Am, Dayang Noor Ejiah binti Haji Emran dari Wad 29, Pediatrik Hemotologi, Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital RIPAS ketika ditemui menekankan kepentingan menderma darah dan mengenai penyakit talasemia.
Pesakit talasemia memang memerlukan bantuan penderma darah untuk rawatan mereka agar tetap sihat.

Menurut beliau, kebanyakan pesakit yang dijaga terdiri daripada talasemia major, ia adalah pembawaan daripada ibu bapa yang kemudian diwarisi kepada anak mereka, menjadi talasemia major.
“Akan tetapi tidak semua akan mendapat talasemia major, hanya 25 peratus dalam kalangan adik-beradik akan menghidap talasemia major,” jelasnya
Dengan adanya kempen menderma darah itu, tambah beliau, ia sangat penting untuk para pesakit talasemia major mendapat rawatan penambahan darah.
Menyentuh mengenai dengan rawatan, beliau berkata, para pesakit akan menjalani rawatan dalam sebulan sekali atau dua kali dan mereka akan menjalani rawatan berkenaan sepanjang hayat mereka.
“Maka dengan itu, pihak hospital sentiasa memantau kecukupan darah dan memerlukan bantuan daripada orang ramai untuk sentiasa memberi sokongan dalam kempen menderma darah yang diadakan,” ujarnya.
Bukan para pesakit talasemia sahaja, namun pesakit-pesakit lain juga memang sangat-sangat memerlukan seperti pesakit yang menjalani pembedahan, dan sebagainya, tambah beliau.