Thursday, February 13, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    35 pejuang Houthi Yaman terkorban

    ADEN, Yaman, 5 Nov – Sehingga 35 orang pejuang kumpulan Houthi Syiah terbunuh dan 19 orang lagi cedera ketika pertempuran sengit bersenjata dengan pasukan pro kerajaan Yaman di seberang wilayah barat daya Taiz dalam masa sehari, seorang pemerintah tentera memberitahu Xinhua.

    Unit-unit tentera yang setia kepada kerajaan Yaman yang disokong Saudi telah melancarkan operasi tentera ke atas Houthi di banyak kawasan wilayah Taiz, membunuh 35 orang militan, mencederakan 19 orang dan menangkap lapan orang lagi dalam tempoh 24 jam, menurut seorang pemerintah tentera yang merahsiakan identitinya.

    Pasukan pro kerajaan juga memusnahkan sebuah kilang periuk api dan bangunan Alat Bahan Letupan Improvisasi (IED) milik pemberontak Houthi di pinggir Taiz, menurut sumber itu. pemerintah tentera itu tidak menyebutkan jika ada kematian dan kecederaan di pihak pasukan pro kerajaan dalam pertempuran di Taiz itu.

    Bagaimanapun satu sumber perubatan setempat mengesahkan kepada Xinhua melalui telefon, menyatakan bahawa ‘kira-kira 20 orang pejuang setia kepada kerajaan tercedera dan telah dipindahkan ke hospital bagi menerima rawatan.”

    Di tempat lain di Yaman, pasukan pro Houthi melancarkan serangan habis-habisan ke atas kawasan-kawasan yang dikuasai kerajaan di wilayah berhampiran, Lahj. Sumber-sumber suku kaum menyatakan bahawa para pejuang tempatan yang disokong oleh pasukan bersekutu Arab yang diketuai Arab Saudi telah berjaya menghalang serangan Houthi selepas pertempuran selama beberapa jam.

    Pejuang Houthi melihat kemusnahan akibat pertempuran dengan pihak kerajaan Yaman yang mengorbankan 35 orang pejuang Houthi. – AFP

    Kerajaan Yaman yang disokong oleh kerajaan bersekutu dengan pasukan gabungan tentera Arab telah selama lebih dua tahun memerangi pemberontak Houthi Syiah yang disokong Iran bagi kawalan ke atas negara.

    Pasukan bersekutu itu telah memulakan kempen udara ketenteraan pada Mac 2015 untuk mengundurkan Houthi dan mengembalikan presiden yang hidup dalam buangan, Abd-Rabbu Mansour dan kerajaan kepada pucuk kepimpinan.

    Pasukan bersekutu juga mengenakan sekatan udara dan laut untuk mencegah senjatah dari sampai kepada pihak Houthi, yang telah menyerang ketenteraan bandar Sanaa dan merampas kebanyakan wilayah utara Yaman.

    Statistik PBB menunjukkan lebih 10,000 orang, kebanyakannya orang awam, telah terbunuh sejak pasukan campuran campur tangan dalam perang saudara Yaman yang juga telah mengakibatkan tiga juta orang berpindah tempat.

    Negara Arab miskin ini juga berdepan dengan epidemik kolera terbesar di dunia sejak April lalu dengan kira-kira 5,000 kes dilaporkan setiap hari. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda