Thursday, January 9, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    35 sertai bengkel penyempurnaan jenazah

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Dalam usaha memperkukuhkan pemahaman masyarakat terhadap tanggungjawab Fardhu Kifayah, seramai 35 orang telah menyertai Bengkel Penyempurnaan Jenazah Lelaki bagi Jemaah Masjid dan Orang Ramai yang diadakan di Masjid Az-Zakireen, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Meragang, baru-baru ini.

    Bengkel yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Az-Zakireen bertujuan untuk memberi pengetahuan dan pendedahan serta panduan praktikal kepada peserta berkaitan tatacara, adab-adab dan kaedah menguruskan jenazah secara teori dan praktikal di samping melahrkan rasa tanggungjawab dan hubungan kerjasama antara peserta berkaitan aspek fardhu kifayah dalam pengurusan jenazah secara Islam.

    Penyampai bagi bengkel itu ialah Imam Masjid Pehin Khatib Abdullah Kampung Kulapis, Haji Md Burhanuddin bin Haji Damit yang menyampaikan mengenai aspek teori dan praktikal, termasuk: Persediaan Awal: Memahami proses memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkan jenazah, Hukum dan Adab: Penjelasan hukum-hukum berkaitan pengurusan jenazah mengikut syarak serta Amalan dan Doa: Bacaan doa dan zikir yang sesuai sepanjang proses pengurusan jenazah.

    Bengkel itu turut dihadiri oleh Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Meragang dan Pemangku Ketua Kampung Kawasan 1 serta Jawatankuasa Takmir Masjid Az-Zakireen.

    Dengan adanya bengkel seperti itu, adalah diharapkan masyarakat dapat bersama-sama memikul tanggungjawab Fardhu Kifayah, memastikan setiap insan mendapat penghormatan terakhir yang sewajarnya mengikut ajaran Islam.

    Para peserta Bengkel Penyempurnaan Jenazah Lelaki bagi Jemaah Masjid dan Orang Ramai bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN JAWATANKUASA TAKMIR MASJID AZ-ZAKIREEN
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda