Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menghantar seramai 35 orang peserta berumur 18 hingga 30 tahun untuk menyertai Persidangan Belia Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) 2021 secara maya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Belia dan Sukan, di sini, hari ini, persidangan bertemakan Youth engagement in achieving SDGs: A route map for change itu akan diadakan setiap Ahad bermula hari ini dengan majlis pembukaan dan akan diteruskan pada 5, 12, 19 Disember depan dan berakhir pada 9 Januari 2022.
Persidangan yang diadakan dengan kerjasama kerajaan Jepun itu bertujuan untuk mempromosikan lagi persahabatan dan persefahaman serta pertukaran belia antara Jepun dan negara-negara ASEAN secara berterusan walaupun dunia kini berdepan dengan situasi
pandemik COVID-19.
Selain itu, persidangan juga berobjektif untuk memupuk belia yang boleh mengaplikasikan kemahiran kepimpinan mereka untuk mencari penyelesaian dalam pelbagai bidang terutamanya mengenai isu-isu sosial yang dihadapi oleh komuniti global.
Para peserta juga akan mendalami pemahaman tentang agenda sosial dan membincangkan bagaimana belia mampu menyumbang bagi mencapai 17 matlamat dalam Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengikut sembilan tajuk yang diberikan dalam persidangan tersebut.
Sembilan tajuk tersebut merangkumi pemerkasaan komuniti, kemiskinan atau akses kepada air dan makanan, pekerjaan, pendidikan, bandar berdaya tahan dan lestari, kesihatan dan kesejahteraan, kehidupan di darat dan air serta tenaga mampan.
Dengan memperdalam perbincangan di setiap bidang, para peserta juga akan dapat menjalinkan hubungan dan membangun jaringan dengan para belia di seluruh negara ASEAN dan Jepun yang dapat memimpin kegiatan mereka pada masa hadapan.
Para peserta Brunei terdiri daripada mereka yang aktif dalam persatuan dan pergerakan masing-masing dari keempat-empat daerah.
