Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 April – Sejumlah 35 pain darah berjaya dikumpulkan daripada 35 orang penderma darah warga Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Beruniform dan Perkhidmatan Kemasyarakatannya hari ini.
Kempen derma darah yang berlangsung di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kurikulum, bangunan baharu kementerian berkenan adalah bersempena Projek Fastabiqul Khairat ke-3 kementerian
dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Perkhidmatan Makmal Klinikal, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Ia bertujuan membantu menambah tabung simpanan darah Hospital RIPAS sekali gus menyelamatkan nyawa serta melahirkan insan yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat serta aktif dalam kegiatan kemasyarakatan.
Ia juga memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan serta orang ramai menderma darah kepada mereka yang memerlukan.
