Friday, September 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    35 terbunuh dalam dua nahas bas di Pakistan

    RAWALPINDI, PAKISTAN, 25 OGOS – Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dalam dua kemalangan bas berasingan di Pakistan hari ini, termasuk 12 orang yang cuba sampai ke Iran, kata pegawai-pegawai penyelamat dan hospital.

    Seramai 23 orang terbunuh apabila bas yang mereka naiki terjunam ke dalam gaung berhampiran bandar Azad Pattan di sempadan antara wilayah Punjab dan Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan.

    Sameena Khan, ketua Hospital Ibu Pejabat Tehsil di bandar Kahuta, memberitahu AFP bahawa 23 mayat telah dikeluarkan dari lokasi nahas.

    “Saya telah kehilangan tiga ahli keluarga saya,” Tara Zafar, yang pergi ke hospital selepas mendengar tentang kemalangan itu, memberitahu AFP.

    Bapa, kakak dan anak saudaranya yang berusia setahun adalah antara yang maut.

    Anggota penyelamat memeriksa lokasi kemalangan bas yang mengorbankan 23 orang selepas ia terjunam ke dalam gaung di kampung Soon dekat Kahuta, wilayah Punjab, kelmarin. – AFP

    Umar Farooq, pegawai kanan kerajaan dari daerah Sudhanoti, dari mana bas itu memulakan perjalanan, mengesahkan angka kematian dalam panggilan telefon dengan AFP dari lokasi nahas.

    Dalam kejadian berasingan, 12 lelaki maut apabila bas mereka merempuh ke gaung di Lebuhraya Pantai Makran di Balochistan, selepas dihalang daripada menyeberang ke Iran.

    “Sebuah kren tentera sedang dalam perjalanan untuk membantu mengangkat bas dari gaung untuk memeriksa sama ada penumpang tersepit di bawah kenderaan. Oleh itu angka kematian mungkin meningkat,”

    pegawai polis Aslam Bangulzai, yang berada di tempat kejadian, memberitahu AFP.

    “Ini adalah laluan yang sangat berbahaya, dengan banyak liku dan selekoh. Pemandu memandu laju dan bas itu jatuh ke dalam gaung yang dalam,” tambahnya.

    Kemalangan itu berlaku di kawasan pergunungan, sekitar 100 kilometer dari bandar terdekat Uthal dan 500 kilometer dari bandar sempadan Iran Pishin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda