Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    35 terbunuh, puluhan cedera dirempuh kereta

    BEIJING, 12 NOV – Seramai 35 orang terbunuh dan 43 lagi cedera selepas sebuah kereta merempuh pejalan kaki petang kelmarin di bandar Zhuhai di selatan China, kata polis tempatan hari ini.

    Insiden itu dilaporkan kelmarin, tetapi pada masa itu, polis hanya menyatakan bahawa terdapat kecederaan, manakala video kejadian tersebut nampaknya telah dipadamkan dari media sosial.

    Namun, hari ini, polis menyatakan bahawa satu ‘serangan serius dan kejam’ berlaku di Pusat Sukan Zhuhai, dengan jumlah kematian seramai 35 orang.

    Pemandu berusia 62 tahun, yang dikenal pasti dengan nama keluarga Fan, memandu “SUV kecil melalui pintu pagar dan masuk ke pusat sukan bandar, melanggar orang yang sedang bersenam di jalan dalaman pusat sukan itu,” kata polis dalam satu kenyataan.

    Polis mendapati Fan di dalam keretanya sedang mencederakan diri sendiri dengan pisau dan segera menghentikannya serta menghantarnya ke hospital untuk rawatan.

    Dia kini berada dalam keadaan koma akibat kecederaan sendiri di leher dan bahagian badan lain, menjadikannya “tidak mampu untuk disoal siasat,” tambah pihak polis.

    Presiden China, Xi Jinping mendesak usaha sepenuhnya untuk merawat mangsa yang cedera dan “menuntut supaya pelaku dihukum mengikut undang-undang,” lapor agensi berita rasmi Xinhua.

    Pertunjukan udara terbesar China, yang mempamerkan sektor aeroangkasa sivil dan ketenteraan Beijing, sedang berlangsung di bandar yang sama. – AFP

    Seorang pengawal keselamatan mengawal kawasan berdekatan pusat sukan tempat seorang lelaki merempuh orang yang sedang bersenam dengan keretanya di Zhuhai, China, pada 11 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda