NEW YORK, 30 APRIL – Sekumpulan bahan kimia yang terdapat dalam pembungkusan makanan, plastik, losen dan syampu didapati mempunyai kaitan dengan ratusan ribu kematian akibat penyakit jantung, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal eBioMedicine kelmarin.
Menurut para penyelidik, bahan kimia itu, yang dikenali sebagai phthalates, bertanggungjawab terhadap lebih 350,000 kematian di seluruh dunia pada tahun 2018.
Kira-kira 75 peratus daripada jumlah kematian itu berlaku di Asia, Timur Tengah dan rantau Pasifik, mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penggunaan plastik yang berleluasa di negara-negara membangun.
“Walaupun para penyelidik mengakui pendedahan kepada phthalates berlaku seiring dengan faktor risiko lain seperti obesiti dan gangguan metabolik, namun penemuan itu mengukuhkan bukti bahawa bahan kimia yang digunakan dalam plastik dapat membawa risiko kesihatan serius,” lapor akhbar The Washington Post.
Phthalates merupakan sekumpulan bahan kimia yang ditambah ke dalam plastik untuk menjadikannya lebih lentur, lembut atau fleksibel. Manakala dalam losen, syampu dan minyak wangi, phthalates pula digunakan untuk mengekalkan bau.
Namun, bahan kimia ini telah digunakan begitu meluas sehingga ada penyelidik menamakannya sebagai ‘bahan kimia di mana-mana’ dan perkara ini telah menimbulkan kebimbangan meluas dalam kalangan saintis.
Dalam kajian epidemiologi, phthalates dikaitkan dengan masalah kesuburan lelaki, penyakit jantung, obesiti dan ADHD.
Di Amerika Syarikat, didapati sembilan jenis phthalates masih dibenarkan untuk digunakan dalam pembungkusan makanan. – Xinhua
