Oleh Yusrin Junaidi & Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Seramai 36 pelajar Darjah VI Sekolah Ugama Lambak Kanan telah diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di sekolah berkenaan.
Daripada 36 pelajar tersebut, 17 terdiri daripada pelajar lelaki dan 19 pelajar perempuan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Ir Awang Norazmi bin Othman.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diketuai oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah oleh para peserta khatam, diikuti dengan bacaan Takhtim oleh murid-murid perempuan dan Doa Khatam dibacakan oleh Awang Mohd Hazim Zuhairi bin Haji Md Soffian.
Majlis juga diserikan dengan Dikir Marhaban, merenjis minyak wangi dan penyampaian sijil khatam kepada para peserta.
Sementara itu, Majlis Khatam Al-Quran juga diadakan bagi meraikan 318 pelajar Sanah 6 Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan yang berjaya mengkhatamkan bacaan 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh dua tahun pada majlis yang berlangsung di Dewan Besar Mabna Al-Ma’wa, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri, Yang Arif Dato Seri Setia Haji Johar bin Haji Muhammad.
Acara dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah yang diketuai oleh Dayang Hayatul Husna binti Sizali dan diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan surah-surah lazim.
Seterusnya bacaan Takhtim dibacakan oleh pelajar Sanah 5, Doa Khatam dibacakan oleh Dayang Seri Balqis Hafizatul Humaira binti Huzaimi, diikuti dengan bacaan Dikir Marhaban dan penyampaian sijil khatam kepada para peserta khatam.
Majlis berakhir dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Doa Selamat.