Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    357 jalani pengasingan diri mandatori

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Setakat 12 tengah hari ini, tiada kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan di Negara Brunei Darussalam menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal seramai 146 orang dengan satu kes masih aktif.

    Kementerian Kesihatan dalam Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini turut mengongsikan bahawa seramai 357 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala itu seramai 6,417 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020. Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 485 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 59,399 ujian.

    Kementerian Kesihatan juga memaklumkan bahawa orang ramai yang ingin mendapatkan ujian saringan SARS-CoV-2 (ujian swab) terutama sekali mereka yang ingin membuat perjalanan keluar negara hendaklah menjalankan ujian saringan sekurang-kurangnya tiga ke lima hari sebelum tarikh penerbangan mereka – tertakluk kepada syarat-syarat negara yang akan dituju.

    Hasil bagi ujian berkenaan akan mengambil masa dan orang ramai hendaklah bersabar untuk mendapatkan keputusan ujian mereka.

    Orang ramai boleh mendapatkan ujian tersebut di Pusat Kesihatan Berakas yang beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang bagi Isnin hingga Khamis dan Sabtu, manakala itu, setiap Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam dibuka dari 2 petang hingga 5:30 petang.

    Ujian juga boleh dilakukan di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang beroperasi setiap hari kecuali hari kelepasan awam, dari pukul 7 pagi hingga 10 malam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda