Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    36 Minit hasil keputusan COVID-19

    SINGAPURA, 27 JULAI – Penyelidik di Nanyang Technological University Singapura (NTU Singapore) Lee Kong Chian dari Pusat Pengajian Perubatan (LKCMedicine) telah menghasilkan ujian diagnostik yang lebih cepat untuk mengesan jangkitan COVID-19.

    Ujian tersebut berjaya mendapatkan keputusan hanya dalam tempoh 36 minit dan turut berfungsi mengesan virus denggi dan virus-virus lain.

    Apabila digunakan secara langsung pada sampel darah asal yang mengandungi virus denggi, ujian berkenaan menghasilkan keputusan dalam tempoh 28 minit, kata Ketua Pasukan Penyelidik, Profesor Madya Eric Yap, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    “Ketika Singapura memerangi wabak denggi dan COVID-19, kedua-duanya memberikan tanda-tanda awal yang sama, ujian kami boleh membantu dalam membezakan dua penyakit berjangkit itu,” kata Yap, yang juga Ketua Makmal Genomik Mikrob.

    Pendekatan terbaharu mereka itu membolehkan penggunaan ujian COVID-19 yang lebih luas untuk pengesanan di makmal akademik atau penyelidikan, dan boleh digunakan untuk pemeriksaan dan penyelidikan terutama di negara dan wilayah dengan kemampuan makmal yang terbatas.

    Ujian tersebut, juga boleh dilakukan dengan peralatan mudah alih, malah dapat digunakan dalam masyarakat sebagai alat penyaringan.

    Pada masa ini, kaedah yang paling sensitif untuk menguji COVID-19 adalah menerusi teknik dalam makmal yang disebut sebagai tindak balas rantaian polimer (PCR), iaitu mesin menambah kekuatan bahan genetik virus dengan menyalinnya berulang-ulang sehingga kesan virus SARS-CoV-2 dapat dikesan.

    Masalah besar dalam ujian sampel adalah pemurnian RNA – mengasingkan RNA daripada komponen lain dalam sampel pesakit – proses makmal yang rumit kerana memerlukan bahan kimia yang kini mengalami kekurangan bekalan di seluruh dunia.

    Kaedah-kaedahnya perlu dilakukan oleh kakitangan teknikal yang terlatih dan boleh memakan masa sehingga beberapa jam.
    Pada masa ini, peralatan automatik untuk penyediaan sampel berharga ratusan ribu dolar dan memerlukan kemudahan makmal yang khusus. – Bernama

    Ujian mudah alih itu boleh menghasilkan keputusan dalam 36 minit, berupaya mengesan virus denggi dan virus-virus lain. – Gambar daripada NTU Singapura
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda