KUALA LUMPUR, 3 SEPT – Jabatan Imigresen menahan seramai 36 pendatang tanpa izin yang cuba diseludup masuk ke Malaysia menggunakan bas ekspres.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata kesemua pendatang, yang terdiri daripada 32 lelaki dan empat wanita, ditahan dalam operasi khas pada 4:30 petang 30 Ogos lepas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Beliau berkata pasukan operasi berjaya mengesan tiga bas ekspres membawa kesemua warga asing, yang menaiki kenderaan terbabit dari Stesen Bas Ekspres Kota Bharu, Kelantan, di Lebuhraya Pantai Timur dan mengekorinya hingga ke TBS.
“Hasil pemeriksaan sebaik kesemua penumpang turun dari bas telah mengesan dan membawa kepada penahanan 20 lelaki Bangladesh serta 12 lelaki dan empat wanita Myanmar berumur antara 19 hingga 45 tahun.
“Semakan lanjut mendapati tiada cap keselamatan yang masih sah di dalam pasport mereka dan terdapat juga pendatang tanpa izin tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. – Bernama
