Oleh Sim Y. H.
TEMBURONG, 31 MAC – Rombongan seramai 36 orang peserta Kursus Marsyal Bomba Abdul Razak Holdings yang diketuai oleh Pemangku SO Hazwan bin Mawang telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Balai Bomba Bangar, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, rombongan dialu-alukan oleh pegawai dan anggota Balai Bomba Bangar dan taklimat disampaikan oleh Ketua Unit Perhubungan Awam, Cawangan Operasi G, Penolong Pegawai Balai Adanan bin Salat.
Turut hadir semasa lawatan berkenaan ialah Pegawai Pemerintah Operasi G, SSFR Haji Afiq bin Haji Julah dan Timbalan Pemerintah Operasi G, ASFR Annua bin Bangau.
Semasa lawatan berkenaan, para pelawat diberikan taklimat ringkas mengenai sejarah penubuhan Cawangan Operasi G, struktur organisasi, tugas-tugas dan peranan anggota bomba. Seterusnya mereka melihat secara dekat perkakas menyelamat dan diberikan penerangan mengenai kegunaannya.
Lawatan itu secara langsung mendedahkan peserta kursus mengenai kepelbagaian risiko dan tatacara di Daerah Temburong. Lawatan berakhir dengan ucapan penghargaan oleh Pegawai Pemerintah Operasi G dan Pengiran Mansor bin Pengiran Jaya mewakili Abdul Razak Holdings dan seterusnya sesi bergambar ramai.
JBP dalam kenyataan itu turut menyatakan bahawa pihak jabatan menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Keselamatan Umum Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.
