Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Seramai 36 orang warga takmir masjid dan penduduk sekitar Kampung Tanah Jambu menghadiri Taklimat Life Saver 995, yang dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Ibu Pejabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di Masjid Kampung Tanah Jambu, Mukim Mentiri baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, taklimat dihasratkan untuk memberikan pengetahuan kepada para peserta mengenai tatacara penggunaan alat pemadam api dan kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya api serta untuk bertindak secara profesional apabila menghadapi kebakaran di masjid, rumah kediaman ataupun di mana saja mereka berada.
JBP dalam kenyataan itu juga menyatakan bahawa ia juga menawarkan program-program keselamatan seperti Taklimat Mencegah Kebakaran dan kursus marsyal bomba bagi mereka yang ingin mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.
Kenyataan turut menyatakan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.