Oleh Faridah Haji Ibrahim
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Dis – Bekas penghuni hostel Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) tahun 1954 hingga 1984 telah berjaya mengumpulkan sejumlah $3,600 daripada 180 orang ahlinya dan anggota keluarga untuk membantu Muslim Rohingya yang dipindahkan di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh.
Majlis penyerahan sumbangan amal jariah untuk membina sembilan telaga tiub telah diadakan di sebuah restoran di Kampung Bunut, baru-baru ini.
Sumbangan berkenaan diserahkan oleh wakil bekas peng-huni hostel berkenaan, Haji Abdul Rahman bin Haji Lahap dan diterima oleh pengasas Hand4handbn, Haji Muhammad Iqbal Fakhri bin Haji Damit.

Hand4handbn adalah pertubuhan baru yang terlibat dalam bantuan kemanusiaan yang bertanggungjawab bagi projek berkenaan yang juga penerima Anugerah Khidmat Belia Negara 2017.
Inisiatif untuk mengutip sumbangan berkenaan bermula daripada satu petikan artikel oleh Christope Boulierac (diterbitkan pada 12 Oktober lalu), yang menyatakan mengenai masalah-masalah di kem pelarian berkenaan, yang dikongsikan oleh Haji Muhammad Iqbal Fakhri.