RABAT, 1 OKT – Pendakwa raya Maghribi akan mendakwa 37 individu kerana menyertai protes yang menuntut reformasi dalam sektor kesihatan awam dan pendidikan, kata salah seorang peguam mereka kelmarin.
“Tiga puluh empat individu akan dibicarakan dengan ikat jamin, dengan perbicaraan dijadualkan bermula pada 7 Oktober, manakala tiga lagi akan didakwa dalam tahanan,” kata peguam Souad Brahma kepada AFP, sambil menambah pertuduhan sebenar masih belum diketahui.
Menurut Persatuan Hak Asasi Manusia Maghribi (AMDH), lebih 200 penunjuk perasaan, kebanyakannya golongan muda, telah ditahan sepanjang tiga hari lalu di Rabat dalam perhimpunan yang dibubarkan oleh polis. Sebahagian besar mereka kemudian dibebaskan.
Protes yang dipimpin golongan belia itu dimulakan oleh sebuah kolektif yang dikenali sebagai GenZ 212, namun pengasasnya masih tidak diketahui.
Protes baharu dijadual berlangsung di beberapa bandar kelmarin, menandakan hari keempat berturut-turut demonstrasi diadakan.

Di Casablanca, pendakwa raya kelmarin memohon agar siasatan dibuka ke atas 18 individu kerana didakwa menghalang lalu lintas semasa protes hujung minggu lalu, lapor agensi berita MAP.
Enam remaja turut dirujuk ke mahkamah khas.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, gabungan parti pemerintah Maghribi yang terdiri daripada parti berhaluan tengah kanan dan liberal berkata pihaknya ‘mendengar dan memahami tuntutan sosial’ golongan muda itu serta ‘bersedia memberi respons secara positif dan bertanggungjawab’.
GenZ 212 mengeluarkan seruan protes beberapa hari sebelumnya menerusi platform Discord, dengan menekankan isu seperti ‘kesihatan, pendidikan dan membanteras rasuah’, sementara menyatakan ‘cinta kepada tanah air’.
Protes itu tercetus pada masa ketidakpuasan hati rakyat terhadap jurang sosial di Maghribi, yang banyak memberi kesan kepada golongan muda dan wanita.
Laporan terbaharu mengenai kematian lapan wanita hamil di sebuah hospital awam di Agadir turut mencetuskan kemarahan rakyat. – AFP

