BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Orang ramai khususnya pengguna jalan raya disarankan untuk meningkatkan keselamatan dan kewaspadaan di jalan raya dengan Negara Brunei Darussalam menyambut kedatangan bulan Ramadan serta setiap umat Islam di negara ini akan menunaikan ibadah puasa.
Menurut statistik dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, sepanjang Januari hingga Mac, sebanyak 37 kes panggilan kebakaran dan kemalangan telah direkodkan oleh jabatan berkenaan.
Pada tempoh Januari hingga Mac itu, sebanyak 21 panggilan kebakaran kereta telah dicatatkan dengan anggaran kerugian sebanyak $76,150, di mana pecahan panggilan yang diterima pada tiga bulan berkenaan ialah Januari sebanyak lapan panggilan, Februari sebanyak enam panggilan dan Mac sebanyak tujuh panggilan.
Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga Mac, JBP menerima sebanyak 16 panggilan kemalangan kereta, di mana pecahan panggilan yang diterima bagi tiga bulan berkenaan ialah Januari sebanyak tujuh panggilan, Februari sebanyak enam panggilan dan Mac sebanyak tiga panggilan dengan kemalangan-kemalangan yang dilaporkan menyebabkan 12 cedera serta satu kematian.
Kenyataan menyatakan bahawa kategori punca kebakaran kenderaan ialah masalah mekanikal termasuk kerosakan komponen mekanikal, kebocoran hos minyak atau saluran di komponen kenderaan dan penyambungan yang longgar, kesalahan dan kecuaian manusia termasuk kurang pengetahuan dalam pemilihan alat ganti komponen kereta, membiarkan enjin kenderaan dalam keadaan hidup dan kebakaran perunan yang ditinggalkan lalu melarat ke kawasan letak kereta, masalah elektrik dalam enjin kenderaan termasuk kerosakan komponen sistem elektrik dalam enjin, kerosakan bahagian pendawaian sistem, kerosakan bahagian ABS dan kerosakan kotak fius di dalam enjin serta hentakan yang kuat mengakibatkan kemalangan.


Sehubungan dengan itu, JBP menyarankan kepada orang ramai untuk lebih peka dalam mengetahui aspek keselamatan kebakaran bagi menghindarkan kejadian kebakaran atau kemalangan kereta daripada berlaku dengan meng-hentikan sebarang pengubahsuaian terhadap reka bentuk asal kenderaan, tidak membuat pengubahsuaian sistem pendawaian elektronik dengan sembarangan tanpa mengikut spesifikasi asal kenderaan serta kemampuan enjin berkenaan.
Selain itu, pastikan pemeriksaan sistem pendawaian elektrik, enjin dan sistem bahan api serta alat-alat mekanikal kenderaan diselenggarakan oleh mekanik yang bertauliah dengan bertujuan untuk mengesan sebelum terjadinya sebarang kerosakan atau kebocoran pada kenderaan serta sentiasa mengambil langkah berhati-hati dalam mendapatkan alat ganti kenderaan supaya ia adalah sesuai dan selamat serta lulus untuk digunakan.
JBP juga menyarankan orang ramai supaya jangan meninggalkan harta benda dalam kenderaan terutama sekali yang boleh menyebabkan kebakaran seperti power bank dan sebagainya.
Apabila berada di stesen minyak, pemandu mestilah mematikan enjin kenderaan dan tidak menyalakan api atau rokok serta tidak menggunakan telefon bimbit semasa sedang mengisi minyak kerana minyak kenderaan adalah bahan yang mudah terbakar.
Pada kesempatan itu juga, JBP mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan dan selamat menunaikan ibadah puasa.
JBP juga menekankan sekali lagi kepada orang ramai supaya berhubung terus kepada Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 jika berlaku sebarang kecemasan dan memberikan maklumat yang tepat.