Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    37 maut dalam pengeboman sekolah

    GAZA, 6 JUN – Sebuah hospital di Gaza berkata hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh dalam pengeboman Israel malam tadi ke atas sebuah sekolah yang dikendalikan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menurut tentera Israel menempatkan ‘kawasan Hamas’.

    Serangan maut itu berlaku ketika wakil pengantara dari Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir menyambung semula rundingan bertujuan untuk mendapatkan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan dalam perang hampir lapan bulan yang dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel.

    Tentera berkata ia telah ‘menghapuskan’ beberapa pejuang dalam ‘serangan tepat ke atas kawasan Hamas yang tersembunyi di dalam sekolah UNRWA di kawasan Nuseirat’, Semenanjung Gaza.

    Israel menuduh Hamas dan sekutunya di Gaza menggunakan sekolah, hospital dan infrastruktur awam lain termasuk kemudahan yang dikendalikan oleh UNRWA, agensi PBB untuk pelarian Palestin, sebagai pusat operasi, tetapi Hamas menafikan tuduhan tersebut.

    Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir al-Balah, dekat Nuseirat, berkata ia telah menerima sekurang-kurangnya ‘37 mayat syuhada’ akibat serangan itu, mengemas kini angka kematian awal seramai 27 yang disediakan oleh pejabat media kerajaan Hamas yang mengecamnya sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan…tanpa perikemanusiaan’.

    Seorang jurugambar AFP melihat warga Palestin mengeluarkan tilam yang berlumuran darah dan memeriksa kerosakan di sekolah di mana pelarian Gaza berlindung, sebahagian daripadanya kini dipenuhi dengan serpihan batu konkrit yang pecah.

    Seorang pegawai perubatan di hospital Al-Aqsa Martyrs berkata satu lagi serangan sebelum subuh Israel membunuh enam orang di sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat, manakala saksi melaporkan tembakan artileri berterusan di kem Bureij dan Al-Maghazi di kawasan yang sama.

    Pesawat perang Israel juga melakukan serangan di kawasan timur dan tengah Rafah, bandar paling selatan Gaza, beritahu sumber tempatan kepada wartawan. – AFP

    Seorang gadis Palestin melihat orang ramai yang sedang memeriksa perumahan sekolah PBB, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda