37 maut serangan di barat Niger

NIAMEY, 17 OGOS – Kumpulan bersenjata membunuh 37 orang awam di barat Niger di mana ratusan penduduk negara itu telah terbunuh dalam serangan tahun ini, menurut sumber tempatan hari ini.

Penyerang ‘tiba dengan menunggang motosikal’ di kampung Darey-Daye di wilayah Tillaberi semalam ketika orang bekerja di ladang, kata seorang pegawai tempatan.

“Jumlah kematian sangat tinggi, iaitu 37 orang, termasuk empat wanita dan 13 kanak-kanak,” kata sumber itu.

Seorang wartawan tempatan mengesahkan jumlah korban dan menyifatkan serangan sebagai ‘paling teruk’.

“Mereka menjumpai orang di ladang dan (pengganas) menembak apa sahaja yang bergerak,” katanya.

Kematian itu menjadikan angka kematian tidak rasmi dari serangan di barat Niger kepada lebih 450 orang sejak awal tahun ini. Ia juga merupakan serangan kelima di daerah Tillaberi dalam beberapa bulan, meragut 151 nyawa.

Dianggap sebagai negara termiskin di dunia oleh Indeks Pembangunan Manusia PBB, Niger terletak di tengah-tengah wilayah Sahel di Afrika Barat, yang sedang memerangi pemberontakan sejak sembilan tahun lalu.

Pertumpahan darah bermula di utara Mali pada tahun 2012 dan kemudian ke pusat negara sebelum merebak ke negara jiran Niger dan Burkina Faso.

Tillaberi telah menanggung beban krisis. Darey-Daye, yang terletak 40 kilometer timur kota Banibangou, berdepan serangan berdarah sejak 15 Mac lalu. – AFP