37 maut serangan nekad di masjid Syiah

KABUL, 15 OKT – Pengebom nekad menyerang sebuah masjid Syiah di selatan Afghanistan yang penuh dengan orang menunaikan solat Jumaat hari ini, membunuh sekurang-kurangnya 37 orang dan mencederakan lebih 70 yang lain, menurut seorang pegawai hospital dan saksi.

Serangan ke atas masjid Imam Barga berlaku seminggu selepas satu pengeboman diakui dilancarkan oleh kumpulan Islamic State (IS) tempatan membunuh 46 orang di sebuah masjid Syiah di utara Afghanistan.

Murtaza, seorang saksi, mengatakan empat pengebom nekad menyerang masjid tersebut. Dua meledakkan letupan mereka di pintu pagar keselamatan, membolehkan dua yang lain lari ke dalam dan menyerang Jemaah masjid.

Bercakap kepada Associated Press (AP) melalui telefon, dia memberitahu solat Jumaat lazimnya dihadiri sekitar 500 jemaah.

Rakaman video dari tempat kejadian menunjukkan mayat bergelimpangan di atas permaidani masjid yang ditompoki darah, dengan orang yang terselamat berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang atau menangis.

Jemaah memeriksa kerosakan di dalam masjid Syiah di Kandahar selepas serangan pengebom nekad semasa Solat Jumaat yang membunuh 37 orang dan mencederakan 70 yang lain. – AFP

Seorang pegawai di sebuah hospital yang tidak dibenarkan bercakap kepada media, mengesahkan jumlah kematian, tanpa memberikan namanya.

Kumpulan ekstremis yang membantah pentadbiran Taliban, menganggap Syiah Muslim sebagai orang murtad yang perlu mati. IS sudah mengakui melancarkan beberapa pengeboman nekad yang membawa sejumlah kematian di seluruh negara sejak Taliban merampas kuasa dalam Ogos di tengah-tengah pengunduran angkatan tentera AS. Kumpulan itu juga menyasarkan pejuang Taliban dalam serangan lebih kecil.

Jurucakap Taliban, Bilal Karimi mengesahkan letupan dan mengatakan siasatan sedang dijalankan, tanpa memberikan butiran lanjut. – AP