Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    37 mualaf sertai Skim Bimbingan Musabaqah Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Seramai 37 orang peserta mualaf telah menyertai Skim Bimbingan Musabaqah Membaca Al-Quran dan Menghafaz Surah-surah Lazim Berserta Pemahamannya bagi Mualaf Senegara sempena Jubli Delima Pusat Dakwah Islamiah (PDI) 1447H/2025M.

    Daripada 37 peserta berkenaan, seramai 26 telah menyertai Kategori Musabaqah Membaca Al-Quran, manakala 11 lagi mengikuti Kategori Musabaqah Menghafaz Surah-surah Lazim Berserta Pemahamannya.

    Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan penyampaian sijil kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh. Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada para fasilitator.

    Program anjuran Bahagian Pembangunan Mualaf, PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu berlangsung di Dewan Mau’izzah, Bangunan Darul Huda, PDI, Kampung Pulaie selama dua hari, bermula hari ini bagi kategori membaca Al-Quran dan esok bagi kategori menghafaz.

    Skim bimbingan itu menampilkan dua fasilitator jemputan berpengalaman iaitu Pegawai Pelajaran dari Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Mohd Noor bin Haji Ibrahim dan Penolong Kanan Pegawai Pelajaran dari Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Awang Abdul Hafiez bin Haji Nuh yang memberikan tunjuk ajar secara langsung bagi meningkatkan mutu bacaan, hafazan serta keyakinan para peserta.

    Secara keseluruhannya, program tersebut bukan sekadar platform pertandingan tetapi juga peluang untuk belajar, memperkukuh keimanan dan mendalami pemahaman terhadap Al-Quran.

    Ia juga mencerminkan komitmen berterusan PDI dalam memperkasakan pembangunan rohani dan ilmu Al-Quran dalam kalangan mualaf di negara ini.

    Haji Abdul Rajid bergambar ramai bersama peserta lelaki semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda