Oleh Daniel Lim
BELAIT, 27 MEI – Seramai 37 pelajar Diploma dalam Refinery Operator (DRO) dan Industrial Skills Qualification (ISQ) di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) yang menunjukkan bakat kepimpinan dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai imam serta aktiviti keagamaan mingguan kampus telah diraikan pada majlis penyampaian sijil bertempat di surau kampus hari ini.
Acara tahunan tersebut dianjurkan oleh Unit Pengetahuan Agama Islam (IRK) dan dipimpin oleh Ketua Pegawai Agama, Hajah Siti Faridah @ Nurhani binti Haji Ahmad.
Majlis bermula dengan bacaan Surah Yasin disusuli oleh penyampaian sijil kepada para pelajar oleh Pengajar IRK, Awang Mohd Azami bin Ustaz Awang Mohd Nor untuk 17 pelajar dari DRO.
Manakala Pengajar Melayu Islam Beraja, Dayang Norhanizah binti Haji Alias menyampaikan sijil kepada 20 pelajar dari ISQ. Majlis berakhir dengan bacaan Doa dipimpin oleh Pengajar IRK di kampus berkenaan.
