Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    37 terima sijil tamat kursus Maktab Turus ABDB

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks, pembangunan profesional secara berterusan adalah penting bagi para pemimpin.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menekankan perkara tersebut semasa berucap pada Majlis Penutup Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-14 yang berlangsung di Akademi Pertahanan ABDB, hari ini.

    Beliau turut menyatakan rasa bangga dengan pencapaian peningkatan Purata Nilai Gred Kumulatif (cGPA) Kohort 14.

    Di samping itu, beliau mengambil maklum akan penambahbaikan pada program tahun hadapan dengan memperkenalkan peralihan ke Program Sarjana, yang akan meningkatkan status dan martabat Maktab Turus ABDB melalui kerjasama dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD), selaras dengan keperluan pembelajaran sepanjang hayat.

    Turut hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan ABDB, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pemangku Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), ketua-ketua perwakilan asing, penasihat-penasihat dan atase-atase pertahanan yang menetap dan tidak menetap di Negara Brunei Darussalam, pengarah-pengarah, komandan-komandan, ahli-ahli fakulti dari UBD dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menyampaikan ucapannya. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menyampaikan sijil kepada pegawai tempatan dan antarabangsa. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya menyatakan kegembiraan atas penyertaan buat julung kalinya dari Royal Cambodian Army, menjadikan keseluruhan penyertaan dari negara-negara sahabat meningkat kepada sebanyak 19 buah negara sejak penubuhan Maktab Turus ABDB.

    “Ini menegaskan betapa pentingnya peranan diplomasi pertahanan dalam memperkukuh hubungan persahabatan antarabangsa dan kerjasama keselamatan serantau,” tekannya.

    Seramai 37 pegawai tempatan dan antarabangsa menerima sijil tamat Kursus Maktab Turus ABDB ke-14 yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin.

    Pada majlis itu, empat anugerah pengiktirafan diberikan kepada peserta kursus dengan Anugerah Overall Excellence diberikan kepada Mejar Cai Chengyi dari Republik Singapura yang juga turut menyandang Anugerah Academic Excellence.

    Sementara itu, Anugerah RBAF Commendation telah dianugerahkan kepada Leftenan Komander Muhamad Adib Izzuddin bin Haji Ramli, TLDB, yang mewakili AP ABDB dan Anugerah Commandant disampaikan kepada Awang Mohammad Hazwan bin Mohammad Azani juga dari AP ABDB.

    Peserta Kursus Maktab Turus ABDB ke-14 terdiri daripada para pegawai Kementerian Pertahanan dan ABDB, agensi-agensi keselamatan lain iaitu Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri serta 18 pegawai tentera antarabangsa iaitu dari Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Jordan, Malaysia, New Zealand, Oman, Pakistan, Filipina, Arab Saudi, Singapura, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

    Kursus yang dijalankan selama 40 minggu itu, dikendalikan dengan kerjasama UBD bermatlamat untuk memperluaskan pengetahuan profesional secara praktikal dan akademik serta disiplin bagi mengkaji persekitaran strategik semasa dan kesannya terhadap tugasan mereka di dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda