CARACAS, 30 JUN – Hujan lebat terus melanda wilayah barat Venezuela, menyebabkan beberapa sungai melimpah dan ratusan kediaman rosak, menurut pihak berkuasa kelmarin.
Di negeri barat Merida, Gabenor Arnaldo Sanchez memaklumkan kira-kira 370 buah rumah terjejas akibat hujan dan banjir, dengan 103 daripadanya musnah sepenuhnya.
Sanchez turut menyatakan di media sosial, kira-kira 2 tan bekalan bantuan telah diagihkan kepada komuniti yang terkesan di kawasan pergunungan Andes, sambil menambah bahawa pasukan keselamatan dan anggota Perlindungan Awam dikerahkan untuk memberikan bantuan segera.
Sementara itu, di negeri barat laut Zulia, Gabenor Luis Caldera memberitahu stesen penyiaran nasional Venezolana de Television, pegawai sedang membantu 16 komuniti yang terjejas akibat limpahan Sungai Chama.
Beliau berkata penduduk di kawasan yang terlibat menerima bantuan makanan, air minuman, khemah dan keperluan asas lain.
Di negeri Apure pula, Datuk Bandar Jackson Barbosa memaklumkan, akses ke komuniti di bandar Andres Eloy Blanco telah terputus selepas dua sungai di kawasan itu melimpah. – Xinhua


